Wednesday, August 25, 2010

Betapa Ruginya Jika Kita Takut Untuk Berkahwin

Salah seorang sahabat Nabi Muhammad S.A.W iaitu Umar r.a. pernah berkata, “menangguhkan pernikahan adalah menangguhkan banyak manfaat yang sesungguhnya dapat dinikmati oleh manusia”. Jadi jelaslah di sini, janganlah kita takut untuk berkahwin kerana insyaAllah tidaklah sesusah dan seseram yang kita semua bayangkan. Kepada mereka yang masih lagi takut untuk berkahwin di sini ada beberapa perkara yang akan ditonjolkan supaya ketakutan itu sedikit sebanyak akan hilang. Antaranya ialah:

A. Mengapa kita suka untuk menjadi teman syaitan?
Allah telah menetapkan dalam sunnah-Nya bahawa perkara yang haq (benar) dan yang bathil (salah) itu tidak akan bersatu. Dan orang-orang yang beriman dilarang untuk mencampur adukkan antara yang haq dan yang batil. Seperti firman Allah, “Dan janganlah kamu campur adukkan yang haq dengan yang bathil dan janganlah kamu sembunyikan yang haq itu, sedang kamu mengetahui.”(al-Baqarah:42).

Selain itu, kita sebagai orang yang beriman diperintahkan oleh Allah S.W.T untuk memerangi syaitan kerana syaitan itu mengajak manusia kepada kebathilan(kesesatan) dan melakukan dosa kepada Allah S.W.T. Syaitan menginginkan setiap apa yang dilakukan oleh manusia itu sentiasa bertentangan dengan al-Haq. Allah telah mengingatkan kita dalam firmannya, “Dan (ingatlah), ketika Tuhanmu berfirman kepada para malaikat: "Sesungguhnya Aku akan menciptakan seorang manusia dari tanah liat kering (yang berasal) dari lumpur hitam yang diberi bentuk, Maka apabila Aku telah menyempurnakan kejadiannya, dan telah meniup kan kedalamnya ruh (ciptaan)-Ku, maka tunduklah kamu kepadanya dengan bersujud. Maka bersujudlah para malaikat itu semuanya bersama-sama, kecuali iblis. Ia enggan ikut besama-sama (malaikat) yang sujud itu.”(al-Hijr:28-31).
Maka mereka yang mampu untuk berkahwin tetapi tidak mahu berkahwin adalah termasuk saudara syaitan. Kejadian ini pernah terjadi pada zaman Rasulullah S.A.W iaitu salah seorang sahabat Nabi S.A.W sudah berkemampuan untuk berkahwin tetapi enggan, lalu dia datang menemui Nabi S.A.W.“Ukaf datang kepada Rasulullah, ia belum mahu berkahwin padahal telah mampu. Lalu Nabi bertanya kepadanya, “Apakah engkau telah beristeri wahai Ukaf?” Jawabnya “Belum”. Sabdanya, “tidakkah engkau mempunyai budak perempuan?” jawabnya, “Tidak”. Sabdanya apakah engkau sihat dan berkemampuan?” jawabnya, “Ya, Alhamdulillah”. Lalu sabdanya kalau begitu engkau termasuk temannya syaitan. Kerana mungkin engkau seperti pendeta Nasrani, lantaran itu engkau termasuk golongan mereka. Apabila engkau termasuk golongan kami hendaklah engkau berbuat seperti kebiasaan kami, kerana kebiasaan kami adalah beristeri. Orang yang paling durhaka di antara kamu ialah orang yang membujang, orang yang paling hina diantara kamu ialah para bujangan. Sebab itu, sungguh celakalah kamu, wahai Ukaf, sebab itu kahwinlah! Lalu Ukaf berkata, wahai Rasulullah, aku tidak mahu kahwin sebelum engkau mengahwinkan aku dengan orang paling engkau sukai. “Lalu Rasulullah bersabda: Kalau begitu aku kahwinkan engkau dengan nama Allah dan dengan berkah-Nya dengan Kultsum Al-Humai, seorang wanita berbudi mulia.”

Rasulullah S.A.W juga melarang keinginan sebahagian sahabat yang ingin meninggalkan pernikahan, walaupun dengan alasan untuk menumpukan diri dalam mengabdikan diri kepada Allah S.W.T. “Diceritakan bahawa Usman Bin Madz’un pernah mempunyai keinginan untuk membujang, lalu dilarang oleh Rasulullah S.A.W. Dan seandainya Rasulullah S.A.W membolehkan melakukan hal itu, maka tentulah kita harus berkasi.” (H.R Muslim, Tirmidzi, Ibnu Majah dari Saad bin Abi Waqash r.a)

Jadi apa yang terbaik bagi kita bukanlah dengan hidup membujang, sekiranya kita ingin dicintai oleh Allah dan Rasul-Nya serta memerangi syaitan. Dan bagi yang masih suka hidup sendirian fikirkanlah, mengapa kamu suka untuk berlama-lama berteman dan bersaudara dengan syaitan padahal kamu sudah mampu bernikah?

B. Hilanglah kemuliaan itu
Orang yang paling bahagia di akhirak kelak adalah orang yang mengikuti Nabinya dengan benar. Ini kerana orang yang sedemikian akan memperoleh kecintaan daripada Allah S.W.T, seperti yang telah dijanjikan dalam Firman-Nya, Katakanlah: "Jika kamu (benar-benar) mencintai Allah, ikutilah aku, niscaya Allah mengasihi dan mengampuni dosa-dosamu." Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.(Ali Imran:31)

Sedangkan orang yang paling celaka adalah orang yang tidak mahu mengikuti Rasul-Nya. Mereka di akhirat kelak akan mendapat siksa yang pedih daripada Allah S.W.T sehingga mereka memohon kepada Allah agar diberi penangguhan dan dikembalikan ke dunia untuk melakukan amal soleh seperti yang telah ditunjukkan oleh Nabi. Seperti dalam firman Allah, Dan berikanlah peringatan kepada manusia terhadap hari (yang pada waktu itu) datang azab kepada mereka, maka berkatalah orang-orang yang zalim: "Ya Tuhan kami, beri tangguhlah kami (kembalikanlah kami ke dunia) walaupun dalam waktu yang sedikit, niscaya kami akan mematuhi seruan Engkau dan akan mengikuti rasul-rasul." (Kepada mereka dikatakan): "Bukankah kamu telah bersumpah dahulu (di dunia) bahwa sekali-kali kamu tidak akan binasa?(Ibrahim: 44). Tetapi apakan daya nasi sudah menjadi bubur kerana penyesalan di akhirat adalah penyesalan yang tidak berguna lagi.

Salah satu perintah Allah dan juga merupakan sunnah Nabi-Nya adalah berkahwin. Jadi barangsiapa yang dipermudahkan oleh Allah untuk berkahwin maka hendaklah berkahwin dan tidak perlu khuatir menjadi terkungkung selepas berkahwin. Ini penting bagi seorang yang bergelar ummat Rasulullah S.A.W.“Bukan termasuk golonganku orang yang merasa khawatir akan terkungkung hidupnya kerana menikah, kemudian ia tidak menikah”(H.R ath-Thabrani).
Jadi sedarlah wahai saudaraku, bersegeralah berkahwin agar kemuliaan itu tidak hilang daripada kita, iaitu kemuliaan untuk meraih cinta daripada Allah dan Rasul-Nya.

C. Jangan jadikan diri kamu dibenci oleh Allah dan Rasul-Nya
Jika kita imbas kembali pada zaman dahulu orang-orang nasrani telah dimurkai Allah kerana mereka mengadakan rahbaniyyah, iaitu hidup membujang dengan alasan untuk mengabdikan diri sepenuhnya kepada Allah. Sedangkan perbuatan tersebut tidak pernah diajar dalam kitab suci mereka. Allah menerangkan perkara ini dalam Firman-Nya, Dan mereka mengada-adakan rahbaniyyah padahal kami tidak mewajibkannya kepada mereka tetapi (mereka sendirilah yang mengada-adakannya) untuk mencari keridhaan Allah, lalu mereka tidak memeliharanya dengan pemeliharaan yang semestinya. Maka Kami berikan kepada orang-orang yang beriman di antara mereka pahalanya dan banyak di antara mereka orang-orang fasik (al-Hadid: 27).

Sekiranya semua manusia mengikuti jejak langkah golongan nasrani ini, nescaya tidak ada lagilah generasi yang akan lahir di muka bumi ini. Ini kerana salah satu tujuan kita diperintahkan untuk berkahwin adalah agar generasi manusia tidak musnah. Perhatikan firman Allah ini, Hai sekalian manusia, bertakwalah kepada Tuhan-mu yang telah menciptakan kamu dari seorang diri, dan dari padanya Allah menciptakan isterinya; dan dari pada keduanya Allah memperkembang biakkan laki-laki dan perempuan yang banyak. Dan bertakwalah kepada Allah yang dengan (mempergunakan) nama-Nya kamu saling meminta satu sama lain, dan (peliharalah) hubungan silaturrahim. Sesungguhnya Allah selalu menjaga dan mengawasi kamu. (an-Nisaa’:1)

Maka mereka yang tidak mahu berkahwin tanpa alasan yang dibenarkan syariat adalah termasuk ke dalam golongan orang-orang yang dibenci oleh Allah dan Rasul-Nya sebagaimana golongan nasrani. Jadi elakkanlah diri kita daripada dibenci oleh Allah dan Rasul-Nya. Ingatlah firman Allah yang berbunyi, Sesungguhnya orang-orang yang yang menentang Allah dan Rasul-Nya, pasti mendapat kehinaan sebagaimana orang-orang yang sebelum mereka telah mendapat kehinaan. Sesungguhnya Kami telah menurunkan bukti-bukti nyata. Dan bagi orang-orang kafir ada siksa yang menghinakan.( al-Mujaadillah: 5)

D. Kita akan menjadi orang yang paling miskin
Miskin di sini bukan hanya miskin dari sudut harta benda tetapi juga miskin dalam perkara amal shaleh. Allah telah menjadikan berkahwin sebagai salah satu jalan kepada hamba-Nya untuk mendapatkan rezeki di dunia dan di akhirat. Rasulullah juga memerintahkan kita untuk mencari rezeki Allah dengan jalan berkahwin seperti yang diriwayatkan oleh Abu Daud, “Kahwinlah wanita-wanita itu, kerana mereka akan mendatangkan mal(wang)”.

Walaupun seseorang itu mempunyai harta yang banyak di dunia ini tetapi sekiranya dia enggan untuk berkahwin, maka dia akan menjadi orang yang miskin di akhirat kelak. Mengapa demikian? Kerana perkahwinan itu banyak mendatangkan amal shaleh, sebab setiap apa yag dilakukan seperti mencari nafkah, menyenangkan hati isteri, ketika bersetubuh dan lain-lain lagi dalam kerangka mencari redha Allah akan ditulis sebagai amal shaleh. Sabda Nabi S.A.W, "Sesungguhnya engkau tiada menafkahkan sesuatu nafkahpun yang dengannya itu engkau mencari keridhaan Allah, melainkan engkau pasti diberi pahala karena pemberian nafkahmu tadi, sampaipun sesuatu yang engkau jadikan untuk makanan mulut isterimu."(Muttafaq 'alaih). Sabda Nabi S.A.W lagi, “Dan bagi kamu ada pahala kerana bersetubuh dengan isteri. Para sahabat ada yang bertanya: Apakah salah seorang kamu melepaskan nafsu seksnya boleh mendapat pahala?.Nabi S.A.W menjawab: Apakah pendapat kamu sekiranya kamu melepaskan nafsu seks kamu ke jalan yang haram, apakah ia tidak berdosa?. Maka, jika kamu melepaskan nafsu seks kamu ke tempat halal (kepada isteri kamu ), pastilah kamu akan mendapat pahala” (H.R. Muslim)

Dengan demikian, apa gunanya harta yang melimpah ruah yang dimiliki oleh seseorang, jika sedikit amalannya dan dibenci oleh Allah dan Rasul-Nya? Jadi fikirkanlah orang-orang yang belum berkahwin, mengapa kamu suka menjadi orang yang paling miskin? Sabda Nabi S.A.W, “Miskin, miskin, miskin, seorang lelaki yang tidak beristeri”. Maka para sahabat bertanya: “Ya Rasulullah, meskipun dia seorang yang kaya hartanya?”. Maka jawab Beliau: “Ya, meskipun dia kaya hartanya”. Selanjutnya Beliau bersabda: “miskinah, miskinah, miskinah. Maka para sahabat bertanya lagi: “Ya Rasulullah. Meskipun dia seorang yang kaya hartanya?” Maka jawab Beliau: “Ya, meskipun dia kaya harta”.(H.R Ibnu Mundzir dan Abu Nu’aim dari Abu Najih As Salmi)

E. Jika kita mati, mayat kita akan menjadi mayat yang sangat buruk
Akhir perjalanan hidup manusia adalah kematian dan manusia tidak tahu bila dia akan mati. Seperti dalam firman Allah, Tiap-tiap yang berjiwa akan merasakan mati.(al-Anbiyaa’:35) dan lagi firman Allah, Dan tiada seorangpun yang dapat mengetahui di bumi mana dia akan mati.(Luqman: 34).

Alangkah ruginya jika perjalanan hidup seseorang berakhir dengan keburukan. Untuk itu manusia harus berusaha sebaik mungkin agar mati dalam keadaan yang baik. Peluang ini lebih mudah diperoleh bagi mereka yang sudah berkahwin, sebab muslim yang hidup membujang tanpa ingin berkahwin termasuk muslim yang buruk dan apabila meninggal dunia, maka mayatnya menjadi mayat yang buruk. Lainlah daripada orang yang sudah berkahwin, kerana perkahwinan itu menambah amal shaleh buat dirinya, sehingga mayatnya lebih utama jika dibandingkan keadaan dirinya dalam keadaan membujang. Sabda Nabi S.A.W, “Orang yang paling buruk diantara kalian ialah orang yang membujang dan seburuk-buruk mayat di antara kalian ialah yang membujang”. (H.R Abu Ya’la dari Athiyah bin Yasar)

Sebahagian sahabat Nabi juga sangat takut kalau mati dalam keadaan membujang. Kenyataan ini dapat kita perhatikan pada sahabat yang bernama Mu’adz bin Jabal r.a, ketika dua orang isterinya meninggal dunia akibat wabak taun, dia berkata: “Kahwinkanlah aku. Aku khawatir akan meninggal dunia dan menghadap Allah dalam keadaan tidak beristeri”. Juga sahabat Ibnu Mas’ud r.a. Dia pernah berkata: “Seandainya tinggal sepuluh hari saja dari usiaku, nescaya aku tetap ingin berkahwin. Agar aku tidak menghadap Allah dalam keadaan membujang”. Lihatlah keadaan mereka itu! Hati mereka penuh kerinduan untuk berkahwin, agar dapat menjadi hamba yang mulia dan terhindar daripada keburukan hidup membujang. Kalau demikian tiada jalan lain lagi bagi kita, jika ingin menghadap Allah dalam keadaan baik, kecuali dengan berkahwin. Sabda Nabi S.A.W, “Barangsiapa yang ingin bertemua Allah dalam keadaan suci dan mensucikan maka hendaklah ia menikahi perempuan yang merdeka”.(H.R Ibnu Majah).

Setelah habis membaca penulisan ini diharapkan anda semua sudah mempunyai sedikit sebanyak semangat untuk berkahwin. Kepada yang belum menemui jodoh, sentiasalah berdoa kepada Allah dan kuatkanlah azam untuk berkahwin. Kepada orang yang sedang melangkah ke arah perkahwinan insyaAllah anda akan tetap mendapat pahala yang sama seperti orang yang sudah berkahwin. Perkara ini samalah seperti dalam hal hijrah, walaupun belum tiba tempat yang dituju lalu meninggal dunia, maka pahalanya tetap sama di sisi Allah S.W.T. Seperti firman-Nya: “Barangsiapa keluar dari rumahnya dengan maksud berhijrah kepada Allah dan Rasul-Nya, kemudian kematian menimpanya (sebelum sampai ke tempat yang dituju), maka sungguh telah tetap pahalanya di sisi Allah. Dan adalah Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang”.(an-Nisaa’:100).