Monday, January 3, 2011

ANAK YANG SALIH


عَنْ أَبِى هُرَيْرَةَ رَضِىَ اللهُ عَنْهُ قَالَ: قَالَ رَسُوْلُ اللهِ صلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسلَّمَ: إِذَا مَاتَ الْعَبْدُ اِنْقَطَعَ عَمَلُهُ إِلاَّ مِنْ ثَلاَثٍ: صَدَقَةٍ جَارِيَةٍ، أَوْ عِلْمٍ يُنْتَفَعُ بِهِ، أَوْ وَلَدٍ صَاِلحٍ يَدْعُوْ لَهُ
(رواه مسلم)
Terjemahan:
Daripada Abi Hurairah (ra), katanya: Telah bersabda Rasulullah (sallallahu alayhi wasalam): Apabila mati seorang hamba (manusia) maka terputuslah segala amalannya kecuali 3 perkara: sadakah jariah, ilmu yang bermanfaat dan anak yang salih yang mendoakannya.
(HR Muslim)

Syarah Al-Hadis:
Allah SWT menjadikan alam dunia ini sebagai alam beramal. Di alam inilah manusia bersungguh-sungguh membuat perbekalan untuk kebahagiaan hidupnya di akhirat nanti. Sedangkan alam akhirat adalah alam pembalasan. Manusia akan mendapat ganjaran di akhirat nanti sesuai dengan usaha mereka di dunia ini, jika baik berbahagialah ia di sana, dan jika sebaliknya akan menderitalah ia.

Bagi umat Islam kematian bukanlah akhir segala-galanya. Kematian hanyalah sekedar perpindahan dari alam amal ke alam pembalasan. Di alam akhirat kita tidak dapat menambah amal baik kita lagi walaupun sebesar zarrah, demikian juga dengan usaha untuk pengampunan dosa.

Segala amalan manusia terputus kecuali tiga perkara. Itupun hanyalah sekedar kesan daripada amalan-amalannya ketika di dunia dahulu, iaitu: sadakah jariah, ilmu yang bermanfaat dan anak salih yang mendoakannya.

1. Sadakah Jariah
Sadakah jariah maksudnya ialah sadakah yang pahalanya berterusan diterima olih orang yang bersedekah seperti mewakafkan sebidang tanah untuk kegunaan awam, membangun masjid, madrasah, rumah anak yatim, hospital dan lain-lain.

Ganjaran pahala amalan di atas akan berterusan diterima olih orang berkenaan selagi sadakahnya itu dimanfaatkan olih orang hidup. Ganjaran wakaf/sadakah amat besar di sisi Allah, lebih-lebih lagi jika wakaf/sadakah itu sesuatu yang dapat menopang dan menolong melancarkan aktiviti keagamaan seperti aktiviti keilmuan, keselesaan tempat-tempat ibadah, jihad dan lain-lain lagi.

2. Ilmu yang bermanfaat
Ilmu yang pernah diajarnya semasa hidupnya, lalu dimanfaatkan orang setelah wafatnya seperti ilmu yang diajarnya kepada pelajar-pelajarnya, ilmu yang disebarnya di kalangan orang ramai, dan juga termasuk penyebaran ilmu melalui kitab-kitab atau kaset-kaset.

Jadi semua ilmu yang boleh mendatangkan manfaat jika mempelajarinya, baik secara langsung ataupun secara tulisan maka ganjaran akan terus mengalir kepadanya walaupun ia telah wafat. Berapa banyak para ulama yang wafat ratusan tahun yang silam dan kitab-kitab mereka terus mengajar ajarannya? Ini adalah anugerah daripada Allah SWT.

3. Anak Salih Yang Mendoakannya
Yang dimaksudkan dengan anak yang salih ialah anak kandungnya, baik yang lelaki ataupun wanita, cucunya dari anak lelaki ataupun cucunya dari anak perempuan. Ibubapa akan terus mendapat ganjaran pahala dari segala amalan baik dan doa-doa mereka. Anak cucu yang salih setiap waktu mendoakan orang tua mereka agar mendapat ampunan Allah, rahmat Allah, derjat yang tinggi dan lipat ganda pahala di sisi Allah.

Kesemua amalan yang terkandung di dalam hadis di atas pada hakikatnya adalah maksud kandungan ayat 12 dari surah Yasin:

Sesungguhnya Kamilah yang menghidupkan yang mati, dan menulis apa yang mereka kerjakan dan kesan-kesan mereka.”

Pengajaran yang dapat diambil dari ayat di atas ialah bahwa ada dua macam yang ditulis oleh Allah untuk/ke atas kita, iaitu:
- Apa yang kita lakukan sendiri secara langsung, samada amalan yang baik ataupun amalan yang buruk.
- Kesan-kesan dari amalan kita semasa hidup lalu diteruskan oleh orang lain atau dimanfaatkan olih orang lain.

Jadi amalan yang boleh sampai kepada seseorang karena kesan amalannya ada tiga kategori, iaitu:
i. Perkara yang diamalkan oleh orang lain yang disebabkan olehnya samada karena dorongannya ataupun karena tunjuk ajarnya.

ii. Perkara yang dimanfaatkan oleh orang lain karena menteladani kebaikan yang pernah dibuatnya.

iii. Perkara yang diamalkan oleh orang lain lalu dihadiahkan kepadanya, atau sadakah yang diberikan atas namanya, atau doa yang ditujukan untuknya, samada olih anak kandungnya ataupun anak didiknya, atau kaum kerabatnya, ataupun kaum muslimin lainnya seperti doa mereka dan istighfar mereka.

Lihat ayat 10 Surah Al-Hasyr:
Dan orang-orang yang datang sesudah mereka (Muhajirin dan Anshar), mereka berdoa: Ya Tuhan kami, beri ampunlah kami dan saudara-saudara kami yang telah beriman lebih dahulu dari kami, dan janganlah Engkau membiarkan kedengkian di dalam hati kami terhadap orang-orang yang beriman; Ya Tuhan Kami, sesungguhnya Engkau Maha Penyantun lagi Maha Penyayang”.

Berbakti Kepada Ibubapa Setelah Mereka Wafat:
Sebagaimana ibubapa ada hak bakti yang mesti tunaikan oleh anak-anaknya semasa hidupnya, demikian juga mereka ada hak tersebut walaupun mereka sudah wafat.

Ini berdasarkan hadis sahih berikut:

Daripada Abi Usaid Malik Bin Rabi’ah As-Saa’idi (ra) katanya: Ketika kami sedang duduk-duduk dengan Rasulullah (sallallhu alayhi wasalam) tiba-tiba datang seorang lelaki dari Bani Salamah, lalu berkata: Ya Rasulullah, adakah masih ada lagi kebaktian yang boleh aku lakukan kepada ibubapaku setelah mereka berdua wafat? Jawab baginda: Ada, iaitu: Mendoakan mereka, memohon ampunan untuk mereka, melaksanakan wasiat mereka, menghubungkan silaturrahmi yang tidak mungkin sampai kepadamu kecuali dengan mereka (datuk, nenek, paman, mak saudara dan lain-lain), memuliakan sahabat karib mereka.
[HR Abu Daud, Ibnu Majah dan Ibnu Hibban]

Selain kandungan hadis di atas, kita juga boleh bersedekah untuk mereka, dan sadakah itu dapat memberi manfaat kepada mereka. Ini berdasarkan hadis berikut:

Daripada Abi Hurairah (ra) katanya: Seorang lelaki pernah bertanya kepada Rasulullah (sallalahu alayhi wasalam): Sesungguhnya ayahku telah wafat, beliau tidak berwasiat apa-apa, adakah dapat memberi manfaat kepadanya jika aku bersadakah untuknya? Jawab Nabi (sallallahu alayhi wasalam): Dapat.
[HR Muslim, Ahmad dan An-Nasa’i]

Kita juga bolih menyempurnakan nazar mereka, zakat, haji, melunas hutang mereka.

Demikian juga dengan menghubungi kaum kerabat dan sahabat-sahabat karib mereka adalah juga termasuk ke dalam berbuat bakti/ihsan kepada mereka. Ini berdasarkan hadis-hadis di bawah ini:

Daripada Abi Burdah (ra) katanya: Aku pergi ke Madinah, lalu aku dikunjungi oleh Abdullah Bin Omar (ra), katanya kepadaku: Tahukah engkau mengapa aku datang mengunjungimu? Kataku: Aku tidak tahu. Lalu dia pun berkata: Sesungguhnya aku mendengar Rasulullah (sallallhu alayhi wasalam) pernah bersabda: “Barangsiapa yang ingin menghubungi bapanya di dalam kuburnya, maka hendaklah dia menghubungi saudara-mara bapanya setelah wafat”. Sesungguhnya ayahku Omar dan ayahmu ada tali persaudaraan dan saling menyayangi, maka aku suka menghubungi pertalian itu.
[Hadis shih riwayat Ibnu Hibban]

Dari Abdullah Bin Omar, katanya: Aku mendengar Rasulullah (sallallahu alayhi wasalam) bersabda: Sesungguhnya jenis kebaktian (kepada kedua ibubapa) yang paling baik ialah anak yang menghubungi keluarga orang yang paling dikasihi olih bapanya.
[HR Muslim]

Ust Dr Abdullah Yasin