Sunday, October 2, 2011

Ciri-Ciri Isteri Pilihan

Ditulis oleh Kapten Hafiz Firdaus Abdullah
Friday, 11 February 2011

Jika sebelum ini kita telah mengupas ciri-ciri suami pilihan, maka kali ini kita akan mengupas pula ciri-ciri isteri pilihan. Artikel ini ditujukan kepada bakal suami tentang apakah ciri-ciri isteri yang patut dia pilih, juga kepada bakal suami yang sudah ada calon isteri, maka ciri-ciri apakah yang patut dia didik calon isterinya itu. Tidak ketinggalan kepada wanita atau bakal isteri, ciri-ciri apakah yang sepatutnya dia melengkapi dirinya.

Pertama: Agama.

Ciri pertama yang penting ialah agama. Allah berfirman dengan membuat perbandingan:ibu_muslimah.jpgSesungguhnya seorang hamba wanita yang beriman lebih baik daripada wanita kafir musyrik sekalipun keadaannya menarik hati kamu.” [al-Baqarah 2:221]

Dalam perbandingan di atas, Allah menerangkan bahawa seorang wanita yang berstatus rendah, amat rendah sehingga ke tahap budak hamba, adalah lebih baik asalkan dia beriman kepada Allah (mukminat). Justeru yang membezakan ciri baik dan buruk bukanlah kecantikan atau daya tarikan, tetapi nilai agama seorang wanita.

Perhatikan juga bahawa Allah tidak menyebut wanita Islam (Muslimat) tetapi menyebut wanita beriman (Mukminat). Ini kerana tahap seorang Mukminat lebih tinggi dari tahap seorang Muslimat. Maka untuk ciri pertama ini, ciri isteri pilihan bukanlah sekadar muslimat yang biasa-biasa tetapi muslimat yang memiliki ilmu agama, beriman dengan teguh dan menterjemahkan ilmu dan keimanannya kepada amal shalih sehari-harian.

Berkenaan ciri agama ini, Rasulullah juga pernah bersabda: “Seorang wanita dinikahi kerana empat sebab: hartanya, keluarganya, kecantikannya dan agamanya. Maka pilihlah kerana agamanya, jika tidak kamu akan rugi.” [Shahih al-Bukhari, no: 4700]

Kedua: Cantik.

Jangan terperanjat jika Islam mementingkan ciri kecantikan kepada seorang isteri. Rasulullah pernah bersabda: “Sesungguhnya Allah itu indah dan menyukai keindahan.” [Shahih Muslim, no: 131] Kecantikan sebegitu penting sehingga Rasulullah menganjurkan seorang lelaki untuk melihat wanita pilihannya sebelum pergi melamar atau meminang. Baginda bersabda:

Apabila salah seorang dari kalian melamar wanita, maka selagi dia boleh melihat apa yang dapat mendorongnya untuk menikahinya, maka lakukanlah ia.” [Shahih Sunan Abu Daud, no: 2082]

Maksud kecantikan di sini ialah apa yang tulen, bukan kecantikan palsu umpama penggunaan alat solek. Bukan juga kecantikan yang menelan kos yang tinggi seperti pembedahan plastik, dandanan rambut di salon terkenal, penurunan berat badan di pusat-pusat yang diragui keberkesanannya dan pakaian fesyen terkini di butik yang berjenama.

Justeru mana-mana wanita yang ingin diperisterikan, bakal menjadi isteri dan sudah menjadi isteri, hendaklah menjaga kecantikan mereka dengan gizi pemakanan yang sihat, senaman dan keyakinan diri. Yakinlah bahawa semua wanita ciptaan Allah adalah cantik, hanya kecantikan itu akan dikecapi oleh lelaki yang tentu saja berbeza citarasanya antara satu dengan yang lain.

Ketiga: Menyenangkan Suami.

Rasulullah pernah ditanya tentang ciri-ciri isteri yang baik. Baginda menjawab: “Wanita yang membahagiakan (suaminya) jika dipandang, mentaatinya jika diperintahkan dan tidak menyelisihi berkenaan dirinya dan hartanya dengan apa yang tidak disukai (oleh suami).” [Shahih Sunan al-Nasa’e, no: 3231]

Ciri seorang isteri pilihan ialah dia memberi ketenangan, kegembiraan dan kebahagiaan apabila saja suami melihatnya. Jika suami menyuruh dia melakukan sesuatu, dia akan melakukannya sekadar yang mampu dengan syarat suruhan itu selari dengan syari’at Islam. Jika bertentangan, maka isteri tidak perlu taat. Namun berbincanglah dengan suami secara hikmah kerana mungkin suami tidak tahu mengenainya.

Selain itu isteri tidak akan menyelisihi, apatah lagi bertengkar atau memarahi, jika apa yang disukainya dibenci pula oleh suami. Ertinya, isteri berusaha untuk menyelaraskan kesukaannya dengan citarasa suami. Inilah yang dinamakan sehati, sejiwa.

Di sini mungkin ada yang bertanya, bahawa kenapa isteri mesti bersikap sehingga ke tahap demikian kepada suaminya? Apakah isteri tidak boleh bermuka muram, enggan taat dan memiliki pilihan tersendiri? Terhadap persoalan seperti ini atau yang seumpama, para isteri hendaklah sedar bahawa semua kebaikan yang dilakukan kepada suaminya, ia adalah ibadah kepada Allah. Dalam erti kata lain, suami merupakan sarana atau jalan untuk isteri beribadah kepada Allah. Perlu diingatkan bahawa ibadah bukan sahaja solat, puasa dan zikir, tetapi berbuat baik kepada suami sebagaimana dalam hadis di atas.

Keempat: Pandai Mendidik Anak-Anak.

Tanggungjawab suami ialah di luar rumah mencari nafkah untuk isteri dan anak-anak. Tanggungjawab isteri pula di dalam rumah mendidik anak-anak dan menjaga rumah. Maka atas dasar pembahagian tugas seperti ini, Rasulullah bersabda: “Sebaik-baik wanita Quraisy adalah yang paling lembut dan simpati pada anak pada masa kecilnya dan paling boleh menjaga harta suaminya.” [Shahih al-Bukhari, no: 4692]

Mungkin ada pula yang bertanya, bahawa isteri juga bekerja di luar rumah. Maka kenapa mereka dipertanggungjawabkan untuk urusan anak-anak dan penjagaan rumah? Jawapannya, pekerjaan di luar rumah tidak diwajibkan oleh Islam ke atas isteri. Jika isteri bekerja di luar rumah, maka ia adalah tanggungjawab tambahan yang dipilih oleh isteri itu sendiri. Jika isteri beralasan perlu mencari sumber kewangan tambahan untuk seisi keluarga, maka perlu ditanya kembali: “Apakah manusia pernah berkecukupan dalam urusan kewangan?”

No comments:

Post a Comment

Post a Comment